Social Icons

February 19, 2010

Kau Sahabatku Kau Teman Sejati :)

salam alaik semua!..
sesungguhnya persahabatan itu sangat indah jika ukhuwah yg dibina kerana Allah..
bagi sesiapa yg menjalinkan persahabatan seperti ini, pasti anda semua mengerti bagaimana indahnya perasaan ini.Ya Rabbi...
semoga ukhuwah yang terbina antara kita semua diredhai dan dirahmati olehNya.InsyaAllah.istimewanya insan yang memiliki ukhuwah seperti ini kerana Allah sendiri akan menyeru 7 golongan di Padang Mahsyar nanti dan salah satu daripada golongan tersebut ialah,

mereka yang saling berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah jua keranaNya

ketika itu, 7 golongan ini diseru untuk memperoleh syafaat daripada Allah :) sememangnya saling ingat- mengingati dan sentiasa menasihati sahabat kita ke arah kebaikan amatlah dituntut dalam Islam.Jika kita sentiasa berpesan dan membimbing rakan kita ke jalan yang lurus yakni ke jalan Allah, InsyaAllah ukhuwah yang dibina akan sentiasa terpelihara dan diberkati.Memang besar ganjaran yang diperoleh bagi mereka yang memandu insan lain ke arah memperoleh hidayah daripada Allah.Rasulullah s.a.w bersabda,

"Jika seseorang mendapat hidayah lantaran kamu, kurniaan itu lebih baik daripada apa-apa yang disinari matahari."
(HR Al-Tabrani)

Seperti lirik lagu yang dipetik daripada lagu Sebuah Pertemuan dendangan UNIC

Saatku kehilangan keyakinan, Kau nyalakan harapan, Saatku meragukan keampunan Tuhan, Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala.

Syukur sungguh dihati ini, Dikurniakan teman sejati, Menunjuk jalan dekati-Nya, Tika diri dalam kebuntuan.

Betapa aku menghargai, Kejujuran yang kau beri, Mengajarku mengenal erti, Cinta hakiki yang abadi.

Tiada yang menjadi impian, Selain rahmat kasih-Mu Tuhan, Yang terbias pada ketulusan, Sekeping hati seorang insan, Bernama teman.

Sungguh indah bukan jika lagu seperti ini ditujukan kepada kita oleh seorang sahabat yang amat kita sayang.Liriknya sungguh mendalam dan mempunyai makna yang tersirat.Hakikatnya, jika ukhuwah yang dibina kerana Allah, serta-merta ukhuwah tersebut akan menjadi lebih indah dan tak ternilai harganya. Persoalannya sekarang, bagaimana untuk melahirkan ukhuwah seperti ini.Kita semua sering mendengar, bersahabat kerana Allah,sayang sesama kita kerana Allah...tetapi, bagaimana sebenarnya untuk kita mewujudkan suasana dan perasaan ini.Usah risau kerana sememangnya ukhuwah fillah yg amat dituntut dalam Islam ini tidak susah untuk dibentuk.Pertama sekali kita semua harus mempunyai sekeping hati hati yang ikhlas dalam bersahabat.Jangan sesekali kita bersahabat dengannya kerana harta, rupa dan sebagainya.

Seperti kata hikmah ini:Persahabatan sejati itu seperti sebuah rumah,Tak perlu cantik, tak perlu mewah,Tetapi lengkapilah persahabatan itu dengan keikhlasan, kejujuran, kasih-sayang dan keimanan. :)

Kata-kata hikmah ini juga saya ingatkan pada diri saya sendiri dan juga pada anda semua agar kita semua sama- sama memperoleh ukhuwah yang hakiki.

"Sahabat yang beriman,Ibarat mentari yang menyinar, Sahabat yang setia,Bagai pewangi yang yang mengharumkan,Sahabat sejati..menjadi pendorong impian,Sahabat berhati mulia,Membawa kita ke jalan Allah,"Saidina Ali bin Abi Talib.

Kemudian, bersahabat kerana Allah akan lebih mekar apabila kita sentiasa mengajak sahabat kita ke arah mencari keredhaan Allah.Jangan sesekali kita biarkan sahabat kita terus hanyut dan terumbang-ambing dengan kenikmatan duniawi yang hanya sementara.Kita semua harus bersama- sama membantu antara satu sama lain demi memperoleh kebahagiaan di akhirat sana.Sahabat yang baik akan terus menegur kesilapan sahabatnya apabila melakukan kesalahan dan terus menasihati mereka dengan baik.Cara yang lebih elok pula, kita sama-sama mencari masa yang sesuai untuk membentuk halaqah.Halaqah ini seperti sebuah bulatan diskusi yakni himpunan hati-hati untuk beriman kepada Allah.Pada masa ini, segala masalah sahabat kita dalam halaqah boleh dikongsi serta diselesaikan bersama.Penyampaian tazkirah dan apa-apa perbincangan juga boleh dilakukan dalam halaqah.Oleh itu, ukhuwah yang wujud antara ahli akan lebih erat.
Seperti kata-kata Fatimah Syarha Mohd.Nordin dalam novel tersohornya bertajuk Tautan Hati,Bertemu cinta dalam halaqoh,Hidup lebih indah terarah,Menyulam tautan hati kerana Allah,Terpaterilah ikatan akidah.

Seterusnya, ukhuwah teguh yang telah dibina akan lebih bermakna apabila kita dan sahabat bersama-sama membimbing insan lain ke jalan yang diredhai Allah.Di saat kita telah menemui sahabat sejati yang akan membantu kita memperjuangkan agama Allah, tika itulah rasa paling gembira dan indahnya tidak terkata.

Selama ini ku mencari-cari, Teman yang sejati, Buat menemani, Perjuangan suci.

Bersyukur kini padaMu Illahi, Teman yang dicari, Selama ini, Telah kutemui.

Dengannya disisi, Perjuangan ini senang diharungi, Bertambah murni kasih Illahi, KepadaMu Allah kupanjatkan doa, Agar berkekalan, Kasih sayang kita.

Petikan lagu Teman Sejati oleh Brothers ini sudah cukup bagi kita untuk memahami nikmat bersahabat kerana Allah S.W.T.'Perjuangan suci' dalam lagu di atas saya kira usaha kita bersama-sama menegakkan syariat Allah dibumiNya.

"Sesungguhnya seorang muslim itu apabila berjalan di jalan dakwah,Dia tidak berjalan dengan hatinya sahaja,Bahkan dibawa bersama hati saudaranya,Justeru itu, setiap pahala yang didapati sepanjang perjalanannya, pasti akan terbias untuk saudara seperjuangannya."Mustafa Mahsyur.

Jadi marilah kita bersama- sama berusaha untuk memperoleh ikatan ukhuwah yang indah ini dan mengasihi sahabat kita seadanya.Seperti HR Al-Bukhari dan Muslim,

" Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."

Persahabatan yang dijalin sememangnya sangat cantik dan murni apabila kita mencintai Allah dan mewujudkan kasih- sayang yang utuh antara kita.

" Wajiblah cinta-Ku bagi orang- orang yang berkasih- sayang kerana-Ku"(Hadis Qudsi)

Untuk menjadi sahabat yang sejati, terlebih dahulu kita perlu memahami makna sebenar sahabat sejati dari segi Islam.Sahabat yang sejati ialah "Seseorang yang apabila kamu memandangnya, kamu akan teringat akan Allah S.W.T, apabila kamu mendengar kata-katanya, pengetahuan kamu tentang Islam bertambah, apabila kamu melihat kelakuannya, kamu teringat akan kepada kehidupan akhirat."

Sabda Rasulullah s.a.w, HR Bukhari dan Muslim juga menyatakan,Sahabat yang baik umpama pembawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikannya kepadamu, atau kamu membeli darinya, atau kamu akan mendapat aroma harum darinya...Tetapi sahabat yang tidak baik diumpamakan seperti peniup dapur tukang besi, mungkin dia akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat busuk darinya.

Sekali lagi,marilah kita memikirkan kembali dan melakukan muhasabah diri..adakah kita sudah memiliki ukhuwah seperti ini dan telah menjadi teman yang baik kepada sahabat kita.Semoga kita sama- sama memperoleh jalinan persahabatan yang suci ini dan mendapat rahmat dari Allah S.W.T.Diharapkan juga ikatan ukhuwah yang dibina berkekalan ke akhirnya dan mendapat teduhan di Padang Mahsyar nanti.Akhirnya, kita akan bersama-sama menikmati nikmat syurga Allah.Ukhuwah itu indah.Binalah kasih sayang sesama insan demi memiliki kasih sayang Allah. :)

February 9, 2010

Kisah Renungan


Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri. Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba- tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi. Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan
Bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib,bahawa bagiNya tiada yang mustahil.
Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , “Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe . Amin” Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe . Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe , Amin”.

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi kepasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat.
Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe . Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.
Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe , tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Ya Allah,berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. “Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pingaseketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe , tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya”Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”. Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England ,si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap. Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh ALLAH…
Moral
Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kitaperlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua: Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.