Social Icons

August 22, 2008

kereta islam dan masjid besi??

Kereta Islam & Masjid Besi : Anda Bangga ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Sekali dengar agak gembira dua kali dengar, rasa kurang gembira. Pagi tadi, semasa dalam perjalanan ke UIAM sejauh 44 KM dari rumah, saya mendengar berita berkenaan kereta berciri Islam akan dikeluarkan dengan kerjasama Proton, Turki dan Iran.

Saya memasang telinga untuk mendengar bagaimana ciri islam yang hendak diterapkan ke dalam reka bentuk kereta.

Tiba-tiba persoalan terjawab beberapa saat selepas itu. Berciri Islam ertinya?

"Kereta hasil cetusan ilham Iran, yang dicadangkan itu dijangka bercirikan Islam seperti mempunyai kompas, petunjuk arah kiblat serta ruang penyimpanan Al-Quran dan tudung."

Mendengar itu, perasaan saya berubah, minda ligat berfikir dan merasa tidak puas hati. Apa yang sangat istimewa?. Mungkin kompas yang boleh dibeli dengan harga RM 5 itu boleh dianggap membantu. Saya juga ada kompas tu di letak di dalam kereta saya. Murah sahaja. Tempat simpan Al-Quran. Eh bukankah semua kereta sudah ada laci atau lekuk simpanan barang?.

Bolehkah agaknya kereta itu digelar kereta Islam atau berciri islam hanya semata-mata punyai kompas, petunjuk kiblat, ruang simpanan quran dan tudung?

Lebih lucu jika kereta tersimpan tudung tetapi pemandu Islamnya tidak memakai tudung, kereta saja Islam atau tuannya Islam?

Kereta berkompas kiblat tetapi pemandu tidak solat pun, hanya kereta sahaja yang Islam?

Adakalanya perasan lucu juga timbul memikirkan. Cuba baca lanjut kereta Islam di sini.

Apa nak jadi duniaku kini. Berlumba-lumba dengan budjet besar untuk menghasilkan bentuk luaran Islam (forms) tanpa memikirkan dengan serius sebarang budjet besar untuk memastikan ‘substances' atau inti Islam itu yang dilaksana.

Sepatutnya ciri sebuah kereta Islam adalah : -

1) Yang paling berkualiti pembuatannya,

2) teliti dan kemas sistemnya dan interiornya,

3) enjin paling selesa dan berkesan,

4) harga berpatutan namun tidak semestinya murah. Sudah tentu kos pembinaan juga perlu diambil kira.

Saya berharap ‘kereta Islam' akan berciri kualitinya seperti BMW atau Toyota. Bukannya kereta yang beratap kubah, berwarna hijau, berselimutkan kiswah kaabah, atau dipenuhi tulisan khat atau ayat Quran. Silap haribulan van jenazah akan diiktiraf sebagai kenderaan Islam terhebat kerana dipenuhi doa dan ayat al-Quran.

Padahal si mati tadi belum tahu mengamalkan dan membaca al-Quran yang tertulis cantik dan indah.

Selain itu, bimbang juga nanti muncul di surat khabar, sekumpulan perompak ditembak mati selepas merompak bank dan berlaku kejadian kejap mengejar, semua perompak menaiki 'kereta Islam'.

Tidak pasal-pasal.. nama Islam diseret dalam kancah yang tidak sepatutnya ia ada. Atau bila ada pemandu zig zag di jalan raya memandu 'kereta Islam', sekali lagi nama Islam akan dikotorkan oleh pemandu tersebut.

Justeru, Islam adalah satu bentuk amalan dan tindakan oleh manusia dan tidak sesuai untuk boleh disandarkan kepada benda yang tidak bernyawa seperti kereta.

Masjid Besi

Ini satu lagi, MASJID BESI di Putrajaya!!

wow atau isyk isykk isykk?

Berikut adalah fakta Masjid Besi, Putrajaya

 RM180 juta - Kos pembinaan

 60,156 - Meter persegi, luas masjid

 20,000 - Kapasiti jemaah.

RM 180 juta!!?? Saya amat berharap Jabatan Audit Negara dapat menyemak kos pembinaan ini agar pisang tidak berbuah berkali-kali. Screw Driver hanya berpuluh ringgit menjadi beribu.

Rujuk lanjut berkenaan masjid besi di sini.

Saya pernah mengajar Tafsir Al-Quran beberapa bulan di Masjid Putra, Putrajaya sekitar tahun 2005 dahulu. Kelas yang dihadiri sekumpulan tiang-tiang masjid, mereka lebih ramai dari hadirin.

cantik tak?

Masjid yang ingin mencecah 2 saf pun sudah amat sukar mungkin kerana lokasinya yang kurang strategik bagi penduduk Purtajaya (yang lebih mudah ke surau-surau lebih berdekatan), tiba-tiba ingin dibina sebuah lagi masjid, Cuma lebih canggih dari sudut binaannya..

Ertinya : "Tidak berlaku kiamat sehinggalah manusia bermegah-megah dengan masjid-masjid".

HR Abu Daud (no: 449), Nasai (no: 689), Ibn Majah (no: 739). Dinilai sahih oleh Ibn khuzaimah (no: 1323) dan Ibn hibban (no: 1614).

Islam mementingkan kualiti dan pengisian, bukan binaan dan bentuk.

Allah s.w.t mencela kumpulan kuantiti jahil

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَارِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ الْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ اللّهُ مُوتُواْ ثُمَّ أَحْيَاهُمْ إِنَّ اللّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَـكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَشْكُرُونَ

Ertinya : ""Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang keluar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya) karena takut mati; maka Allah berfirman kepada mereka: ""Matilah kamu"", kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai karunia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." ( Al-Baqarah : 243)

Rujuk ayat-ayat lain seperti : al-Ankabut:63 ; al-‘Araf: 187 ; al-Baqarah : 243 ; al-An'am : 116 2) Pujian Allah & Rasul terhadap kualiti walaupun kurang kuantiti :Shod : 24 ; Anfal:26 ; Hud : 116.

Juga sebuah hadis nabi s.a.w :-

الناس كإبل مائة لا تجد فيها راحلة

Erti : Manusia yang ramai seumpama unta-unta yang beratus-ratus jumlahnya, tetapi tidak dapat diperolehi dari kalangannya yang sesuai untuk dibawa bermusafir (kerana tiada kualiti).

Allah s.w.t juga memuji umat Islam (sahabat) yang kuat iman atau isi Islam mereka, sehingga digambarkan jumlah kualiti sebegini walaupun sedikit tetapi amat bermanfaat buat umat.

Jumlah berkualiti ini mampu menewaskan musuh walaupun musuh lebih ramai. Nisbah ukuran kekuatan seorang mukmin berbanding musuh yang dijelaskan dalam firmanNya:-

ياأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صابرون يغلبوا مائتين وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لا يفقهون

Ertinya : Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (Anfaal : 65 )

Manakala di ketika kualiti islam dan iman berkurangan, kemampuan mereka juga merudum. Allah s.w.t menyebut:-

الآن خفف الله عنكم وعلم أن فيكم ضعفا فإن يكن منكم مائة صابرة يغلبوا مائتين وإن يكن منكم ألف يغلبوا ألفين بإذن الله والله مع الصابرين

Ertinya : Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar . ( Anfaal : 66)

Justeru, kita inginkan pengisian mantap dan bukan lagi masjid yang bentuknya sahaja yang cantik. Cukuplah masjid-masjid besar yang kosong. Kita ingin berhempas pulas dan berpecah minda mencari pendekatan menggalakkan lebih ramai ke masjid.

Saya suka mendengar cadangan JAKIM untuk melantik Ketua Pegawai eksekutif (CEO) bagi sebuah masjid bagi memperkemas perjalanan dan operasi.

Namun tidak dapat menyembunyikan kebimbangan dalam pelaksanaan dan pemilihannya. Terutamanya apabila membaca berita di bawah :-


2 pegawai JAINS dituduh minta rasuah

SEREMBAN 20 Jun - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan dua anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) dibicarakan bersama atas dakwaan meminta habuan seks dan rasuah wang RM1,500.

Hakim Abd. Rahman Abdol turut memerintahkan Roslan Yusop, 41, dan Zaini Yasin, 33, yang ditahan pada 12 Mei lepas dan mengaku tidak bersalah dibicarakan pada 16 dan 17 Oktober ini.

Menurutnya, mahkamah berpuas hati dengan permohonan Pegawai Pendakwa Badan Pencegah Rasuah (BPR) Mohd. Tahir Ahmad bahawa perbuatan itu dilakukan dalam satu transaksi, melibatkan fakta dan saksi yang sama.

Roslan dituduh meminta rasuah seks daripada seorang wanita yang ditangkap khalwat di Flat Taman Desa Pelangi, Mantin pada pukul 1.45 pagi, 8 Mei lalu.

Rujukan : Utusan

Mari Goda Ustaz ?

Ada individu pernah meluahkan rasa marahnya kepada keadaan ustaz dan golongan agama yang mula boleh dibeli, disogok dan bernafsu besar. Sebelum ini kita pernah mendengar berita hakim Syari'e dan Peguam Syarie dituduh rasuah. Kini lebih dahsyat.

Individu tadi mencadangkan orang ramai menguji para ustaz yang memenuhi bumi Malaysia ini terutamanya yang memegang jawatan penting.

"Elok jika kita berlagak sebagai wanita, dan cuba ‘test' ustaz-ustaz ni. Kita goda slow-slow, tanya soalan agama kemudian melencong ke seks, tengok samada dia benar-benar ustaz atau syaitan bertopeng ustaz." Katanya dengan penuh yakin.

Hmm, susah juga saya nak komen tapi tidak dinafikan ada baik buruknya. Baik kerana biar segelintir ustaz-ustaz yang gatal ini susah nak mengenalpasti wanita betul atau orang penguji, akhirnya semua saluran untuk berbuat jahatnya tertutup RAPAT. Buruknya bimbang dipukul rata semua ustaz seperti itu. Padahal ia hanya sebilangan sahaja.

"Jika dia terpedaya, lepas tu tibai dia cukup-cukup. Amacam ustaz?" Tanyanya lagi

"Bolehlah anda buat eksperimen dulu, then lapor pada saya hasilnya ye" ujar saya

So ustaz-ustazah, bersedia ye dengan penguji-penguji ini.

Apa pandangan anda pula??. Golongan agama yang gila rasuah pun ramai juga. Mereka juga mungkin perlu diuji tetapi bimbang yang diuji ditangkap oleh BPR pula nanti.

Akhirnya, kefahaman terhadap keutamaan menggunakan wang negara untuk tujuan keagamaan yang bermanfaat meluas perlu diambil kira secara amat serius.

Kita bimbang fenomena ‘gila' rupa bentuk Islam tanpa isi akan membawa salah faham terhadap Islam yang sebenarnya. Akhirnya Islam dipandang serong kerana kejahilan umatnya.

Lalu wujudlah ...

Kereta macam Islam dan pemandu belum Islam.

Masjid hebat bentuknya tetapi mengaibkan Islam

Nasyid Islam dengan lagu merosak akhlak remaja Islam

Pelakon & penyanyi wanita imej Islam dengan perangai minah rempit

Busana Muslimah yang sebenarnya Busana yang patut dimuntahkan.

Selipar Islam @ Nabi tetapi hati munafiq.

Moga Allah selamatkan kita darinya dan rezekikan kita menjadi penasihat dan penghalang wujudnya fenomena ini.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

13 November 2007

1 coretan hati:

akmal fahmi said...

ya..sumanya betol..ish3.. umat Islam sekarang..hum.