Social Icons

August 12, 2010

Si Warak Digoda Syaitan


Kehidupan ini penuh dengan dugaan dan godaan daripada syaitan-syaitan yang berusaha untuk menghancurkan kehidupan dan keimanan umat Islam. Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki yang sangat warak dan beriman kepada Allah SWT. Pemuda tersebut sentiasa beribadat kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sebarang perkara maksiat.

Dalam dunia syaitan dan iblis, mereka sedang menjalankan mesyuarat dan perbincangan untuk menyesatkan orang warak tersebut. Ketua mesyuarat itu adalah iblis yang sedang mencari syaitan yang layak menjalankan tugas itu.

Banyak syaitan yang menawarkan diri untuk menyesatkan orang warak itu tetapi iblis tidak berkenan apabila metod mereka tidak begitu menarik. Ada syaitan yang memberitahu dia telah memisahkan pasangan suami isteri untuk meyakinkan iblis tersebut. Kemudian, ada seekor syaitan yang tampil ke hadapan dan menyampaikan metodnya, cara-cara untuk menyesatkan orang warak itu. Metod tersebut telah menambat hati iblis dan syaitan itu dipilih untuk menjalankan tugas tersebut.

Pada hari pertama syaitan itu menjalankan rancangannya, dia telah pergi ke bilik tuan puteri raja kerajaan. Tuan puteri itu sangat cantik dan telah dilimpahi dengan kesenangan dan kemewahan hidup sepanjang hidupnya sehinggakan hatinya juga mudah goyah dan lemah. Dengan kepintaran syaitan tersebut dia telah masuk ke dalam diri tuan puteri itu untuk melemahkan sistem dalam badan. Perbuatan syaitan itu telah menyebabkan tuan puteri berasa sangat sakit terutama pada bahagian hatinya.

Keadaan tuan puteri telah merisaukan raja dan permaisuri. Mereka meminta para pembesar mencari tabib atau sesiapa sahaja yang boleh merawat tuan puteri. Kemudian, syaitan yang durjana itu telah menyamar wajah sebagai seorang pembesar raja, walhal pembesar yang sebenar telah pergi bertugas meninjau di sempadan negara.

“Ada seorang lelaki yang warak dikhabarkan boleh mengubati penyakit dengan doa-doanya yang mujarab. Kemujaraban itu disebabkan dia sangat kuat beribadah kepada Allah,” syaitan cuba perdaya raja dan permaisurinya.

Kata-kata syaitan itu berjaya menghasut raja dan dengan segera raja menitahkan supaya tuan puteri dihantar ke rumah pemuda itu. Sebaik tiba di rumah orang warak itu, dia telah membaca ayat al-Quran supaya segala benda kotor di dalam badan tuan puteri akan keluar. Tidak lama kemudian, keadaan tuan puteri kelihatan pulih sedikit dan tuan puteri dibawa pulang semula ke istana.

Di pertengahan jalan, syaitan yang masih menyamar itu sekali lagi menghasut raja, “Lebih baik tuanku tinggalkan tuan puteri di rumah orang warak itu sehingga tuan puteri benar-benar sembuh. Bimbang di pertengahan jalan ada benda kotor yang akan masuk semula ke dalam badan tuan puteri.”

Sekali lagi, raja termakan hasutan kata-kata syaitan. Dibawa semula tuan puteri ke rumah orang warak itu. Kehadiran kali kedua raja dan rombongan memeranjatkan orang warak itu tetapi dia tetap melayan dan menerima titah daripada raja dengan tenang. Maka, orang warak itu terpaksalah menunaikan amanah daripada raja yang meminta dia mengubati tuan puteri sehingga benar-benar sembuh dan tinggal bersamanya.

Untuk seketika, tuan puteri tinggal bersama-sama orang warak itu tetapi bagi mengelakkan masyarakat sekeliling membuat fitnah, orang warak itu mengambil keputusan untuk tinggal di luar rumah dan tuan puteri tinggal di dalam rumah. Setiap hari orang warak itu akan menghantar makanan kepada tuan puteri dan makanan itu akan diletakkan di hadapan pintu. Orang warak itu sesekali tidak masuk ke dalam rumah kerana dia tidak mahu berdua-duaan dengan tuan puteri.

Rancangan syaitan tidak terhenti dengan menghasut raja, tetapi syaitan telah berusaha menghasut orang warak itu. Suatu hari syaitan berbisik kepada orang warak itu, “Apa salahnya kamu masuk dan meletakkan makanan itu di dalam rumah. Bimbang apabila diletakkan di hadapan pintu akan dimakan oleh kucing.”

Orang warak itu termangu dan memikirkan kebenaran bisikan syaitan itu. Lalu, keesokan harinya dia mengetuk pintu dan sebaik tuan puteri yang cantik itu keluar dan membuka pintu, orang warak telah menghulurkan makanan kepada tuan puteri.

“Mengapa berdiri sahaja? Lebih baik kamu bertanya tentang kesihatan tuan puteri. Adakah dia telah sembuh atau belum,” bisikan syaitan menusuk ke dalam otak orang warak itu.

Tuan puteri duduk di beranda rumah itu dan diikuti oleh orang warak, lalu orang warak itu bertanya kepada tuan puteri berkenaan kesihatannya.

“Beta rasa lebih sihat,” jawab tuan puteri.

“Mengapa kamu kelihatan tidak mesra? Senyumlah kerana senyuman itu adalah sedekah dan sedekah itu adalah dituntut,” sekali lagi syaitan berbisik kepada orang warak.

“Betul juga,” bisik orang warak, dan dia mengukir senyuman kepada tuan puteri.

“Kamu duduklah sebentar dengan tujan puteri dan berbual-bual dengannya. Lagipun engkau seorang yang beragama, apa kata engkau ajar ilmu agama kepada tuan puteri,” syaitan terus menyucuk jarum ke dalam hati orang warak.

“Oh, ya tak ya. Lebih baik aku ajarkan tuan puteri ilmu agama,” bisik orang warak di dalam hatinya.

“Kamu tidak bimbang jika ada orang melihat kamu dan tuan puteri yang bukan mahram kamu duduk berbincang berdua-duaan di sini? Bukankah buruk akibatnya jika orang kampung melihat kamu? Untuk mengelakkan orang melihat kamu, lebih baik kamu mengajar tuan puteri di dalam rumah,” syaitan berbisik lagi.

Masuklah orang warak dan tuan puteri ke dalam rumah. Syaitan mengikut sama. Ada hadis yang menyatakan bahawa jangan duduk berdua-duaan antara lelaki dengan perempuan bukan muhrim kerana akan ada pihak ketiga antara mereka, iaitu syaitan yang cuba menghasut supaya melakukan maksiat.

Begitulah yang berlaku antara orang warak dengan tuan puteri, mereka terperangkap sehingga terjerumus ke dalam lembah maksiat.

Tidak berapa lama selepas itu, tuan puteri bunting dan perkara ini membuatkan orang warak berasa sangat takut. Tetapi, pihak yang sangat gembira mendengar perkara tersebut adalah syaitan durjana yang memang mengharapkan perkara itu berlaku.

“Engkau akan mendapat balasan daripada raja kerana telah menyebabkan tuan puteri bunting. Tetapi, jika engkau mahu mengelakkan daripada dipersalahkan dalam hal ini, engkau hapuskan sahaja tuan puteri. Katakan kepada raja bahawa kematian tuan puteri disebabkan penyakitnya semakin parah dan tidak boleh diubati. Selesai,” musah sahaja syaitan menyelesaikan masalah yang berlaku.

Orang warak sudah tidak siuman dan telah mengikut hasutan syaitan, lalu tuan puteri yang cantik dan bunting itu dibunuhnya. Dalam waktu yang sama, syaitan telah menyawar sebagai pembesar dan bertemu dengan raja lalu memberitahu kepada raja tindakan orang warak yang membunuh tuan puteri.

Akhirnya, dengan kemurkaan, raja telah menjatuhkan hukuman sula ke atas orang warak itu sehingga kesakitan yang amat sangat dirasainya.

“Andai engkau mahu pertolongan daripada aku, engkau sujudkan kepada aku,” hasut syaitan untu kesekian kalinya.

“Engkau tidak lihat ke keadaan aku yang sangat kesakitan ini? Bagaimana aku hendak bergerak apatah lagi untuk bersujud,” kata orang warak.

“Mudah sahaja. Engkau niatkan di dalam hati bahawa engkau bersujud kepada aku!” teriak syaitan dalam kesamaran pandangan kabur orang warak itu.

Orang warak melihatan syaitan ketawa mengilai-ilai dan hilang di udara sehingga suara dan bayangan syaitan semakain hilang daripada pandangan orang warak. Akhirnya orang warak itu mati dalam keadaan yang tidak beriman, su-ul khatimah kerana telah melakukan perzinaan, penipuan, pembunuhan dan syirik kepada Allah SWT.Na'uzubillah…minta dijauhkan.Smoga kita semua meninggalkan dunia ini dalam keadaan husnul khatimah.Aminn…

Sesungguhnya tugas syaitan hanya untuk menyesatkan manusia supaya melakukan maksiat, perkara-perkara syirik dan seumpamanya sehinggalah manusia tidak mahu pulang ke pangkal jalan. Sememangnya itulah janji syaitan kepada Allah SWT.

Peristiwa di atas memberi banyak mesej kepada umat Islam supaya menjaga syahwat, lagi-lagi apabila duduk berdua-duaan dengan orang yang bukan muhrim. Sudah banyak berlaku kes-kes tangkap khalwat dan buang anak disebabkan mereka termakan hasutan syaitan untuk melakukan perkara maksiat tersebut. Syaitan sentiasa mengambil kesempatan daripada kelalaian umat Islam yang sangat suka kepada perkara-perkara dosa. Tidak kiralah pada sesiapa pun yang dikehendakinya. Jika memang keimanan itu mudah goyah akan senanglah syaitan menyesatkan mereka untuk melakukan maksiat.

Rasulullah SAW bersabda yang tercatat dalam hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Ibnu Hibban yang bermaksud, “Jangan kamu duduk berdua-duaan dengan seorang wanita kerana sesungguhnya syaitan adalah pihak ketiga antara kamu.”

Imam Ahmad juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia berkhalwat dengan seorang wanita tanpa ada mahram wanita itu kerana syaitan akan menjadi pihak ketiga antara mereka berdua.”

Berikut pula hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud;

“Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda ‘Jangan seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali jika wanita itu ada bersama-sama mahramnya.’ Kemudian, berdiri seorang lelaki dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, isteriku telah pergi menunaikan haji, tetapi aku telah berdaftar untuk berjihad dalam peperangan.’ Rasulullah SAW berkata, "Kembali dan pergilah menunaikan haji dengan isteri kamu."

Pengertian bagi syaitan menjadi pihak ketiga antara orang lelaki dan perempuan yang duduk berdua-duaan adalah syaitan itu duduk di tengah antara mereka, lalu menjalankan peranan menghasut supaya mereka melakukan maksiat sehingga syahwat lelaki dan perempuan tidak dapat dikawal lagi. Apabila sudah termakan hasutan syaitan, segala peraasaan malu sudah tidak difikirkan lagi, tetapi mereka melihat terdapat sesuatu yang manis dan indah dalam perbuatan maksiat.

Setiap orang Islam wajib menjaga diri daripada mendekati perkara-perkara maksiat. Pelihara batas aurat dan pergaulan antara kawan-kawan lelaki dengan kawan-kawan perempuan supaya tidak berlaku perkara buruk seperti gangguan seksual dan maksiat lain. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT semoga diri kita sentiasa berada dalam perlindungan-Nya daripada sebarang perkara buruk dan gangguan syaitan.

Antara amalan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan diri daripada gangguan syaitan adalah dengan mengamalkan bacaan surah An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas dan Al-Kafirun seriap hari, sebanyak yang boleh. InsyaAllah dengan usaha, ikhtiar dan bertawakal kepada Allah SWT, hidup kita akan terhindar daripada perkara buruk dan gangguan syaitan.Aminn Ya Rabb.. :)

1 coretan hati:

Nabil Iqbal said...

shukran ukhti..
mohon share artikel ini...
shukran jazilan..