Social Icons

March 10, 2008

CERPEN : SECERAH MENTARI


(gambar sekadar hiasan.)
Oleh : Muharikah
Idea: Dan_is

Tidak adakah satu detik, atmamu berbisik?
Suara hatimu meronta menidakkan noda itu
Walau pada zahir ia kelihatan cantik
Tapi nafas dosa itu tetap bergema di hati
Fitrah sucimu mengungkapkan bahawa
Satu kesalahan itu pastinya dosa
Satu kesucian itu perlu dipelihara
Sedarlah jiwa, bangkitlah jiwa!
Rungkaikan segala dosa itu!
Dengan tangisan taubat dan seruan islah*!
Islahkan dirimu dan islahkan bumimu!

‘Astaghfirullahalazi m!!’ istighfarnya berulang kali.
Suara itu sungguh jelas, cukup kuat untuk membangunkannya dari tidur yang kurang lena. Dikesati peluh di dahi. Panas suam-suam.
Malam itu malam yang panas, sepanas waktu siang yang dipancarkan dengan terik matahari. Kepanasan itu mengigit tubuhnya dengan suara-suara bisikan yang acapkali bertandang di telinga. Membangunkannya tika lena, menyentaknya tika jaga.
Dia bingkas bangun. Segelas air dituang dan dihirup. Dengan pantas memoar setahun yang lampau berombak kembali ke minda.
Mata berkilas ke sekeping kertas kecil terselit di bawah tafsir al-Quran di meja. Sekeping tiket yang menjadi passport kemasukan ke sebuah majlis makan malam. Entah mengapa, acara tahunan yang begitu dinantikan oleh kebanyakan pelajar Malaysia di Turkey itu, bagai tidak menarik perhatiannya. Bukan sahaja kurang berminat, malah terbit perasaan bercampur baur yang menyesakkan dadanya. Antara ketakutan ,kerisauan dan ketidak pastian beradun bersama nafasnya di saat itu.

“Dani..oi Mat Dani!Meh sini jap!’
‘Apa dia Yop?’
‘Kalau ko join kitorang arrange bahagian performance mase dinner nanti ok tak?’
‘Errr… aku mana reti Yop. Haiyaa… takde orang lain ker?’ Dia mengelak.
Ayub menjawab dengan nada yakin. ‘Alaa..., kerja simple je. Kau pilih orang untuk perform, lepas itu, kau bagi briefing sikit. Kau tengok-tengok macam tu je. Pastikan semua orang ikut jadual latihan. Kacang jekan?’
Dia termangu sejenak, berfikir.
“Hurmm, kalau camtu, aku layan jela. Kau punya pasal!’
Ayub kegembiraan di saat dia menyatakan persetujuan itu. Dia terasa bebanan di otak Ayub sebagai pengarah majlis makan tahunan itu berkurangan.

“Kenapa kau ambil tugasan tu??!!”
Persoalan itu menghujam fikirannya yang kematu.
Ahhh!!!
Mahu sahaja dia berteriak ke luar angkasa bagi meleraikan keserabutan di fikirannya.
Pergi kau! Pergi!!!!!! Nyah!!!!

Kini, disebabkan peranan yang dia anggap mudah itu, bermulalah episod-episod baru dalam majlis keramaian dan persembahan di dalam masyarakat pelajar Malaysia di Turkey itu. Memang benar, tugasan sebagai ajk persembahan memang mudah.
Kerjanya cuma memilih para performer yang minat untuk membuat persembahan. Ada yang menawarkan diri untuk mengambil pos penyajak, pelakon, nyanyian,kugiran malahan tarian!

Namun yang menggusarkan hatinya adalah apabila dia terpaksa membuat keputusan di dalam pemilihan penari-penari yang akan beraksi di atas pentas yang bakal dihadiri oleh para diplomat dan juga warga asal Turkey itu. Tidak ketinggalan seluruh pelajar Malaysia di negara sekular Turkey yang dijemput ke majlis keramaian tahunan itu. Majlis yang diadakan secara besar-besaran sambil mengutip derma itu perlu dilakukan dengan cara paling baik, kerana melambangkan betapa berprestijnya masyarakat Malaysia di depan mata dunia! Bangganya dia menjadi orang penting di dalam majlis yang mampu memartabatkan maruah bangsa dan negaranya!

Padanya, dia hanya mahu membuat pilihan yang tepat. Mahu menonjolkan yang terbaik tentang Malaysia yang berbilang kaum dan budaya. Termasuklah di dalam aspek tarian. Tarian Melayu, Cina dan India sangat banyak ciri kesenian dan keindahan budaya yang tidak terdapat di dalam masyarakat Turkey di sini. Tentu perbezaan ini akan menarik minat mereka tentang Malaysia dan memperkayakan pengetahuan mereka tentang sebuah negara kecil yang pesat membangun. Dia mahu para penonton itu kagum melihat budaya Malaysia, kagum melihat keindahan seni Malaysia. Tentu mereka merasakan Malaysia adalah sebuah negara Islam yang moden, yang mengikut peredaran zaman. Apa salahnya jika dia mahu menunjukkan pada mereka akan tarian orang Malaysia juga?

“Danial, awak rasa tindakan awak itu betul ke?’

Humaira, seorang wanita yang wara’ menegurku dengan baik. Dia merupakan seorang wanita muslimah Turkey yang terselamat dari barah sekularisnme Turkey. Walaupun hijab diharamkan di Turkey, tapi dia tetap tegar dengan busana muslimahnya.

Ditegurnya aku di saat dia melihat warga performer berlatih di dewan makan di pusat penginapan mereka. Begitu terkejut dia melihat rakan-rakan Melayunya yang kesemuanya Muslim sibuk berdandan dan melakukan tarian yang mengejutkan aksinya. Muzik yang dipasang ketika itu juga janggal pada telinganya.

‘Apa maksud awak Humaira?’ tanyaku penuh hormat. Dengan wanita sesolehah itu, tidak mampu dia bertentang mata dengannya mahupun meninggikan suara. Di sebelah Humaira ada beberapa rakannya yang menemani perbualan mereka itu. Tidak mahu antara mereka berdua, warga asing ketiga yakni syaitan yang menemani.

‘ Saya nampak tujuan Danial yang mahu mempamerkan sosio-budaya masyarakat majmuk di Malaysia. Tujuan yang tidak salah pada saya, walaupun pada saya, ada cara lain yang boleh dbuat untuk menunjukkan kebudayaan masyarakat Malaysia selain daripada membuat persembahan ini. Namun saya tahu, Danial hanya mengikut arahan, namun tidakkah boleh jika diubah supaya rakan-rakan muslimah kita tetap terpelihara daripada tontotan umum kaum Adam?’

‘Tapi ini bukan program Islamik, Humaira. Ini program internasional melibatkan semua kaum. Bukan sahaja wanita muslimah yang akan membuat persembahan, tapi warga Cina dan India juga.’
‘Saya faham itu. Saya tahu yang menontonnya juga adalah lelaki muslim. Tentu sahaja kamu berhujah, jika kaum wanita bukan Islam boleh menari, kenapa tidak orang Islam sendiri bukan?
Dia masih tunduk memandang lantai. Dia memang segan dengan Humaira kerana kewarakan dan juga susunan bicaranya yang teratur. Jika yang bercakap dengannya sekarang ini adalah pelajar Melayu, mesti boleh dipatah-patahkan hujahnya dan tentu sahaja dia akan menang. Tetapi dengan Humaira, dengan bahasa Turkeynya yang tunggang langgang, masakan mampu dia melawan muslimah seikhlas itu?

‘Saya tahu kamu hanya menurut arahan, tapi kamu boleh bawa perubahan itu. Tidakkah kamu sedar jika tahun ini tarian itu dipersembahkan oleh wanita muslimah yang kamu masih boleh pelihara maruhanya, kemungkinan pada tahun-tahun mendatang, acara yang sama akan berulang. Malah akan lebih dahsyat lagi!’

Dia masih diam . Mahu mengumpulkan kekuatan untuk berbicara.
‘Apa yang dapat saya lakukan Humaira? Jika tiadanya mereka, takkan adanya tarian zapin Melayu yang telah pun diletakkan dalam tentatif program .Tiada adanya tarian mak yong. Tidak akan adanya silat. Maka bagaimana mampu majlis itu berlangsung dengan baik sedangkan itu perlu ditonjolkan dalam setiap persembahan Malaysia ?’
Sambil menarik nafas dia menyambung.

‘ Apa yang mampu saya lakukan?Mereka sendiri rasa seronok untuk mempersembahkan tarian-tarian itu!’

MasyaAllah! La haula wala quwwata illa billah! Sepatutnya kamu lebih sedar dan peka akan isu ini. Kamukan orang Islam! Kamu berasal dari Malaysia seharusnya kamu lebih tahu tentang Islam dariku. Saya banyak belajar dari buku berbanding kamu tapi saya tahu perbuatan membiarkan wanita muslimah kita menonjolkan diri mereka menerusi tarian yang diperhatikan oleh kaum Adam yang tentunya seronok memerhatikan lenggoknya tubuh wanita menari di hadapan mereka. Tidakkah kamu suka juga memerhatikan mereka menari?’
Dia masih tunduk malu. Mahu dia katakan tidak. Tapi fitrah lelakinya tidak dapat menafikan betapa seronoknya dia melihat perempuan-perempuan yang cantik menari di hadapannya.
‘Danial, demi Allah. Tanyalah iman di dadamu! Adakah mahu engkau membiarkan wanita muslimah itu dihinakan di hadapan lelaki yang tiada imannya? Bagaimana kamu dapat memelihara pandangan lelaki daripada melihat wanita jika mereka ditonjolkan di hadapan mereka? Tidakkah kamu baca firmanNya ‘ Katakanlah kepada lelaki yang beriman , tundukkanlah pandangan mereka dan peliharalah kemaluan mereka.’ Katakanlah kepada perempuan yang beriman, tundukkkanlah pandangan mereka , pelihara kemaluan mereka dan jangan menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang biasa terlihat pada dirinya. Hendaklah mereka pun menutupkan kain tudung melabuhi dadanya. Janganlah mereka menampakkan perhiasannya selain kepada suami mereka, ayah mereka, mertua laki-laki mereka, anak-anak kandung mereka, anak-anak tiri mereka, saudara laki-laki mereka, anak saudara mereka (dari saudara laki-laki mereka), saudara perempuan mereka, anak saudara mereka (dari saudara perempuan mereka), wanita-wanita Islam, budak-budak yang mereka miliki, pelayan laki-laki yang tidak lagi memiliki hasrat seksual atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita?’( An-Nur:30-31)

Petah sekali Humaira membacakan ayat suci Al-Quran itu dengan bahasa Arab yang fasih. Dia masih ingat akan ayat itu. Ayat yang diajarkan kepadanya suatu ketika dahulu tatkala diperingatkan untuk menjaga batasan pergaulannya dengan wanita.
Tapi mengapa ayat itu sudah kurang bergetar pada hatinya kini? Sudah malapkah cahaya iman di hatinya?
‘Tapi Humaira’, mereka yang mahukan sendiri. Saya tidak paksa!’ Dia masih mahu menyelamatkan diri.
‘Kamu seorang lelaki, seharusnya kamu mampu menasihati mereka. Bukankah dalam sebuah hadis, Ummu Salamah pernah berkata, “Aku pernah duduk di samping Nabi saw dan Hafsah, lalu datanglah Ibn Ummi Maktum-dan beliau seorang sahabat Nabi yang buta- meminta izin untuk masuk ke rumah baginda. Kemudian Nabi saw memerintahkan kami untuk memakai hijab. Aku bertanya kepada baginda, “Wahai Rasulullah, dia itu buta, tidak dapat melihat. ( Maka kenapa kami perlu tutup aurat?) “ Baginda bersabda, “Apakah kalian berdua juga buta dan tidak melihatnya?” .
‘Jika seorang sahabat baginda yang buta pun seorang muslimah itu harus memelihara aurat dan perilakunya, maka bagaimana pula seorang muslimah di hadapan ratusan lelaki yang celik matanya? Walaupun mereka semuanya berhijab nanti, tapi tentunya dengan perhiasan-perhiasan yang berlebihan serta pakaian yang cantik akan memukau penonton yang melihat. Tentunya lenggak lengguk si penari akan mengiurkan mata-mata yang melihat dengan pandangan hati yang bernafsu! Tegarkah kamu jika kamu melihat wanita seaqidah denganmu dijadikan begitu rendah nilainya sehingga dipertontonkan sekian rupa?’

Dia masih bisu. Terpukul dengan kata-kata Humaira yang bagaikan panah yang tajam mengenai kalbunya. Dia tahu itu semua! Dia tahu! Tapi apa yang boleh dia buat untuk menangkis kehendak rakan muslimahnya sendiri yang sangat beriya-riya untuk menari. Mereka sendiri sangat seronok untuk memasuki acara itu. Bagaimana dia dapat menghalang mereka?
Dengan penuh kekuatan dia menjawab lemah,
‘ Apa yang saya perlu lakukan sekarang Humaira?’
Dengan tenang Humaira menjawab.
‘Kamu sudah tahu peranan kamu dan kamu tahu perkara itu adalah salah. Maka lakukan sesuatu untuk mengelakkannya berlaku!’
Humaira berlalu pergi bersama teman-temannya, meninggalkan dirinya termangu-mangu berfikir sendirian. Dia malu pada Humaira, wanita Turkey yang baru sahaja mengenakan busana muslimah setahun dua, yang baru mengenali Islam, lalu mengamalkan Islam sepenuh hatinya. Bagaimana dengan dirinya? Dirasakan ilmunya hanya berputar di buku nota dan bibirnya semata.

Dia memandang langit yang hitam pada malam hari itu.

Ya Rabb! Berikan hatiku cahaya untuk melihat kebenaran dan kekuatan untuk berkata-kata di hadapan sahabatku .....

Dia faham, sahabar-sahabatnya sangat berbakat dalam bidang kesenian. Dia tahu mereka mahu mengekspresikan diri mereka dalam tarian itu. Bila lagi masanya untuk menunjukkan potensi diri jika bukan di dalam majlis yang hanya setahun sekali dibuat itu?
Dia menyandarkan diri di balik dinding. Mengeluh panjang...

Bukankah dahulu ada orang mencadangkan untuk diadakan ‘Pesta Makanan Malaysia’? Pesta yang tentunya tidak akan menimbulkan konflik yang berlaku seperti di saat itu. Tentunya lebih seronok. Di samping pesta makan, tentu sahaja dapat dibuat pameran-pameran, petunjukkan yang ringan, dan juga tayangan video tentang Malaysia. Tentu majlis akan lebih terpelihara dan mengurangkan fitnah. Dia pun terfikir mengapa anjuran itu tidak dijalankan?

Dia pernah terbaca sebuah hadis yang berbunyi, "Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan nama yang lain dan kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu ke dalam bumi." Riwayat Ibn Majah.
Akukah yang membiarkan umat Islam itu dilalaikan dengan muzik dan juga nyanyian wanita?
“Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah.

Akukah yang membenarkan wanita-wanita itu memakai pakaian yang berlebihan? Membenarkan mereka bermake-up berlebih-lebihan? Dan membenarkan mereka mencantikkan wajah dan tubuh mereka di hadapan lelaki bukan ajnabi mereka?

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Akukah yang menjadi punca maksiat kepada umat Muslim di sini? Akukah yang membenarkan mereka memperlakukan diri mereka sesuka hati tanpa teguran?

Sabda Nabi SAW, "Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan."

Bagaimana mungkin penonton lelaki menundukkan pandangan di sepanjang majlis itu? Mustahill! Tentu mereka mahu melihatnya sehingga habis!

Ya Allah!! Berdosanya aku!!! Apa yang boleh aku lakukan Ya Rab! Bagaimana dapat aku mencegah kemungkaran ini?

‘Ustaz, ana dah tak tahu nak buat apa ustaz....’ Dia menangis di balik gagang telefon ketika dia menghubungi guru lamanya di sekolah, menceritakan bebanan yang berat di dadanya. Di bumi Ankara ini, siapa yang dapat menjadi tempat rujukannya? Siapa yang dapat betul-betul memahami isi hatinya? Di sini , para pelajarlah yang paling tua di antara mereka. Tidak ada ustaz, tidak ada guru sebagai rujukan.

‘Sabar Dani. Ada hikmah di sebalik peristiwa ini. Ustaz yakin banyak benda yang Dany belajar dari episod hidup inikan?’
‘Ana rasa sangat berdosa ustaz. Majlis itu dah habis dah pun. Tapi ana tak dapat mencegah perkara itu dari berlaku. Nanti dosa-dosa semua akan dapat pada ana ustaz! Apa boleh ana buat?’
‘Istighfar Dany. Istighfar. Allah itu Maha pengampun. Tidak ada dosa yang tidak akan diampuninya. Yakinlah. Dany dah buat apa yang Dany mampu, betulkan? Dany sudah menegur mereka. Memberi mereka cadangan untuk menukar tarian tersebut. Mencadangkan supaya diadakah upacara lain ,upacara nasyid dan upacara yang tidak mendedahkan aurat wanita dan melibatkan pencampuran lelaki dan perempuan, semuanya itu mereka tak nak terima bukan?’
Senyap. Hanya dengusan nafas yang berbunyi.
‘Dany dah buat apa yang Dany mampu. Pada pendapat ustaz yang tak maksum ini, perkara ini berlaku kerana satu asbab’.
Dia mendengar penuh khusyuk.

‘ Dan perkara ini bukan sahaja berlaku di Turkey, malah di semua tempat yang hidupnya manusia ini. Iaitu kerana Islam dan iman masih belum masuk ke dalam hati mereka, umat Islam. Kerana tiadanya perasaan bahawa perkara itu berdosa. Tidak merasakan bahawa apa yang dipamerkan itu bukannya Islam. Malah sebenarnya itu adalah budaya jahiliyah! Apabila seseorang itu tidak merasa bangga dengan Islam, malah merasa lebih cintakan negara berbanding Islam, sebab itulah orang sukar nak faham kenapa persembahan seumpama itu , yang melibatkan percampuran lelaki dan perempuan serta menonjolkan aurat wanita di hadapan lelaki tidak dibenarkan oleh Islam. Apabila tujuan kita membuat satu persembahan itu hanya kerana untuk menunjukkan ‘kemalaysian’ kita bukan keIslaman kita! Tentunya sukar orang nak faham kenapa kita perlu menjaga batasan di dalam majlis sebegitu. Islam belum masuk ke dalam hati mereka. Terlalu banyak kefahaman yang masih belum tertanam di hati mereka!Hati dan perasaan mereka masih belum tunduk kepada Islam tetapi tunduk kepada hawa nafsu mereka!’
‘Tapi itulah ustaz, kitakan masyarakat majmuk. Kita tidak mahu menonjolkan sangat bahagian Islam itu sangat. Nanti ada orang bukan Islam akan terasa atau mahu mempamerkan agama mereka’

‘Dah tu? Kenapa nak dibuat juga? Dapat pahala ke kalau buat?’
Dapat pahala? Fikirnya. Tak pernah difikirnya boleh ke buat persembahan itu dapat pahala.. Nak niat kerana Allah pun malu. Sebab dia tidak merasakan apabila melakukan persembahannya itu menambahkan iman dan taqwa kepada ALlah. Berlainan jikalau memang persembahan itu dilakukan untuk menarik orang kepada Islam, hanya dilakukan berasingan lelaki dan perempuan, agar terjaga batas-batas pergaulan di dalam majlis, mungkin dapat dibuatnya secara ikhlas.

‘ Bagaimana ustaz nak buat? Pening kepala ana ini ustaz.’

‘Tak apa Dany. Yang sudah itu biarkan. Yang penting sekarang kene berikan kefahaman kepada rakan-rakan tentang Islam. Apabila seseorang itu faham tentang Islam, tentu dia bangga dengan Islam dan mahu beramal dengan Islam. Tentu tak perlu cakap pun, dia tahu, kalau majlis yang bercampur lelaki perempuan itu salah. Tentu dia merasa malu malah berdosa jika dia melakukan persembahan di hadapan lelaki yang bukan muhrimnya. Yang penting kena tanamkan iman, kene berikan kefahaman. Kita tidak boleh paksa orang mengikuti Islam tanpa dia merasai manis dan indahnya Islam itu. Apa yang terjadi pada umat Islam sekarang adalah kerana jahilnya mereka tentang Islam bukan kerana jahatnya hati mereka! Kene suburkan iman dan taqwa di hati sahabat-sahabat. Ustaz tahu susah untuk Dany, tapi insyaallah, jika dimulakan sekarang, lama-kelamaan orang akan sedar juga.’

Dany mengangguk setuju, menelan air liur yang kelat. Dia tahu perjalanannya sukar. Tidak ramai orang sukakan usrah, tidak ramai juga suka akan program-program keagamaan. Tapi sepertinya juga, jika seseorang itu faham Islam, dia akan mampu mengubah seluruh dunia ini, malah dia akan meninggalkan segala perkara bukan Islam dan benar-benar meletakkan cintanya kepada Allah semata-mata!

‘Dany, ko ada dengar cerita tak?’ Rahim bertanya kepadanya seusai dia menamatkan perbualannya dengan ustaznya itu.
‘Apa dia?’
‘ Dengarnye, diorg nak buat belly dancing untuk dinner tahun ni.. Pergh.. gile betul!, dah nak jadi ape aku pun tak tau”

Dia merasakan seolah-olah langit menghempap berat mukanya ketika itu. Dia merasakan mindanya berputar-putar dengan hebat. Ya Allah, apa sudah terjadi?
Yang dia ingat di tika itu, matanya berpinar-pinar. Terasa gelap seluruh pandangannya. Terasa sakit seluruh sendinya di saat bertemu lantai batu yang sejuk. Dan dia masih ingat Rahim terus menerus memanggil namanya. Tapi dia tak mengerti apa perkataan sahabatnya selepas itu...
____________ _________ _________ _________ _________ _________ _________ ______
Buat sahabat seperjuanganku, jangan gentar dan goyah dalam menegakkan yang hak. Jahiliyah pastikan runtuh dan al-haq pasti akan tertegak! Ujian dan rintangan akan sering menghambat kita, namun tegarlah bersama al-haq, dan peganglah tali Allah dengan sekuat-kuatnya. Nescaya kamu akan sentiasa dibimbing olehNya, Insyaallah!
‘Barangsiapa yang engkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sungguh dia berpegang terus pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus’. (2:256)

0 coretan hati: